Muslihat pembangkang


“Betulkah peristiwa di Lahad Datu, Sabah itu agenda politik UMNO?” Soalan ini hanya memerlukan jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’. Ia mudah dijawab. Yang penting ialah huraian mengenai jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’ itu boleh diterima atau sebaliknya. Untuk mewujudkan keraguan politik, sebenarnya jawapan adalah tidak penting. Jika matlamat pembangkang untuk mewujudkan keraguan politik, mereka berjaya mengelirukan rakyat. Mereka menggunakan kesempatan yang datang tepat pada waktunya. Jika kerajaan lewat bertindak balas, mereka akan dapat membentuk keraguan di pemikiran rakyat dengan mudah. Kesannya, rakyat lebih berminat mengetahui apakah sebenarnya agenda UMNO daripada mengetahui keadaan sebenarnya dan perkembangan di Lahad Datu. Dengan adanya soalan seperti itu menunjukkan memang sudah wujud keraguan di kalangan rakyat. Mujur, mereka bertanya untuk mendapatkan kepastian terlebih dulu daripada terus mempercayainya.

Sejak berlaku pencerobohan pengganas pada 12 Februari lalu di Lahad Datu, Sabah, ada pemimpin pembangkang yang menuduh bahawa kejadian itu adalah agenda UMNO. Gambaran yang cuba diberikan ialah peristiwa itu sengaja diada-adakan UMNO kononnya atas pelbagai tujuan politik. Dengan berbuat demikian, mereka cuba membentuk pendapat politik kononnya UMNO goyah hingga terpaksa mengada-adakan isu dengan tujuan mencari sokongan dan menyatukan rakyat khasnya di Sabah yang dianggap sebagai negeri ‘cagaran tetap’. Pembangkang juga beranggapan dengan membuat tuduhan itu, mereka dapat melemahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Sabah bagi membolehkan mereka meraih sokongan di negeri itu.Mengapa mereka mengaitkan UMNO, mudah difahami. Umumnya, negara ini akan menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa saja. Mereka melihat kerajaan BN mempunyai kelebihan untuk menang besar. Jika pembangkang tidak melakukan sesuatu yang drastik, harapan untuk menang adalah tipis. Selain rakyat mula hilang kepercayaan terhadap pembangkang, pelbagai program BN mendapat sambutan begitu menggalakkan daripada rakyat. Pendekatan ‘Rakyat Didahulukan’, ‘Janji Ditepati’ dan beberapa program yang dilaksanakan kerajaan berjaya memenangi hati rakyat.
Pembangkang sebenarnya kian tersepit. DAP, PAS dan PKR tidak mempunyai kekuatan lagi. Mereka hanya mengharapkan undi kaum Cina. Mereka lupa kebanyakan undi kaum Cina adalah untuk DAP. Orang Cina tidak akan menyokong PAS, tidak seperti pilihan raya lalu. Sebahagian besar orang Melayu, khasnya yang menyokong PAS pula tidak lagi yakin dengan pemimpin parti itu. Mereka melihat PAS gagal memperjuangkan dan meningkatkan syiar Islam. Jika isu penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam pun mereka tidak dapat selesaikan dengan baik, inikan pula untuk menegakkan hukum dan negara Islam. Ramai ahli PAS mempersoalkan kebijaksanaan pemimpin PAS yang mereka anggap tunduk kepada tindak tanduk dan mengikut telunjuk DAP dan PKR.

Pemimpin pembangkang beranggapan, dengan menuduh UMNO di belakang tabir peristiwa Lahad Datu, rakyat Sabah akan marah kerana UMNO yang dianggap mencetus kekecohan di negeri itu. Jangkaan pembangkang meleset kerana kerajaan bertindak menyelesaikan kejadian itu secara berhemah. Selepas sekian lama berunding dan meminta pengganas keluar dari kampung dicerobohi, gagal mencapai persetujuan pengganas, barulah anggota Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bertindak. Berikutan kematian yang dihadapi pengganas dan gugurnya beberapa wira negara, pembangkang tidak berani lagi mendakwa peristiwa itu sebagai tindak tanduk UMNO. Mereka juga melihat peristiwa di Lahad Datu sebagai peristiwa serius kerana ia membabitkan soal maruah bangsa dan negara. Tidak hairanlah ada pemimpin pembangkang yang menafikan mereka menuduh UMNO sebagai pencetus kepada peristiwa itu. Jalan mudah ialah menafikan apa yang mereka katakan dan menuduh media melakukan kesalahan. Cuma, media yang dipersalahkan adalah milik mereka sendiri.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana