PERISTIWA BERDARAH LAHAD DATU MENCERMINKAN SIFAT BURUK PAKATAN PEMBANGKANG


Peristiwa berdarah di Kampung Tanduo, Lahad Datu Sabah merupakan satu catitan sejarah hitam di negara ini. Musuh-musuh negara termasuk yang berpengkalan di negara jiran mencari kesempatan untuk melakukan sesuatu yang di anggap mereka sebagai satu perjuangan di samping gembira melihat nama baik Malaysia tercemar.

Stand-off yang agak lama ini dikatakan untuk memberi ruang rundingan yang berlangsung antara pemberontak dengan Pihak Berkuasa Malaysia. Hanya mereka yang biasa dengan keadaan kritikal sedemikian boleh menghargai apa yang sedang dilakukan oleh kedua-dua pihak terutama di pihak Kerajaan Malaysia.

Adalah difahamkan ruang dan peluang secukupnya telahpun diberikan kepada penceroboh. Pada masa yang sama, pihak berkuasa Malaysia sering berhubung dengan pihak berkuasa Filipina demi menentukan wujudnya kerjasama dan kesefahaman di dalam menangani masalah yang melibatkan pemberontak-pemberontak yang sebahagian daripada anggota mereka terdiri daripada penyokong-penyokong fanatik yang dikatakan mengambil arahan daripada pimpinan mereka tanpa mempersoalkan.

Begitulah cermat dan telitinya tindakan yang di ambil Pasukan Keselamatan. Tidak ada sebutir pelurupun yang dilepaskan walaupun masa yang di ambil agak begitu lama sehingga ada setengah pihak yang tidak bertanggungjawab mempersoalkan jarak masa yang diberikan untuk berunding.

Apa yang mendukacitakan sebahagian daripada pimpinan pembangkang bukan sahaja melihat peristiwa ini sebagai sesuatu yang genting dan mempunyai implikasi yang agak besar kepada keselamatan Negara. Sebaliknya mereka menghentam tindakan yang diambil dan menyalahkan pihak-pihak yang berurusan dengan pemberontak tanpa menyedari betapa sulitnya rundingan yang diadakan kerana ianya melibatkan pemberontak yang mempunyai budaya mereka yang tersendiri.

Bagi tukang penempelak apa sahaja tindakan yang di ambil samada berunding atau tindakan bersenjata yang lebih decisive, bagi mereka kedua-duanya sama sahaja. Memilih alternatif satu yakni berunding pun akan menerima caci nista. Seandainya pihak yang berwajib terus memilih alternatif ketenteraan yang lebih decisive pun akan dijaja sebagai tidak cermat dan gagal mengambil perhitungan kepada hubungan geografi dan budaya yang terjalin sekian lamanya antara Kesultanan Sulu dengan Sabah.

Bahkan setelah berlaku pertumpahan darah dengan mengorbankan 2 orang komando dan mencederakan 3 yang lain dengan 12 orang pemberontak tumpas dan 10 menyerah diri, itupun dikatakan Pihak Berkuasa Malaysia masih bermain sandiwara. Mereka bukan sahaja tidak memberi pandangan dan pendapat yang membina demi keutuhan wilayah Malaysia malah begitu aneh mereka terus memperkecilkan tindakan pihak yang berkuasa dan memberi gambaran mereka lebih mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi dibandingkan dengan kemampuan dan kebolehan pihak yang berwajib. Inilah brand pembangkang. Inilah juga barisan pimpinan yang diharapkan akan menguruskan hal-hal kenegaraan kita. Sikap bongkak dan sombong serta mengaggap sesuatu itu remeh memang mudah dipraktik seperti yang sering disebut berapa berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Apa yang boleh diharapkan daripada pimpinan pembangkang seperti ini. Bijak berkokok ditepi gelanggang dan hanya bijak melemparkan kata keji nista tanpa sebarispun cadangan untuk membantu menyelesaikan keadaan yang ada masanya begitu kritikal.

Peristiwa ini memberi amaran kepada kita bahawa dalam hal-hal yang berkait dengan maruah dan agenda besar negara, rakyat tidak boleh mengharapkan sesuatu yang positif daripada pimpinan pembangkang yang lebih suka menambahserabutkan keadaan daripada mencari jalan penyelesaian muktamad. Tektik pembangkang mudah difahami. Mereka tidak punya ilmu. Mereka tidak mempunyai kepakaran. Mereka juga tidak mempunyai pengalaman. Teriakan mereka adalah teriakan kosong dan rakyat Malaysia sudah arif dengan tektik yang mereka mainkan.

Bagi kita yang waras sekalung penghargaan yang tidak dapat dinilaikan harganya disampaikan kepada seluruh anggota keselamatan yang bertugas terutamanya kepada mangsa pemberontakan beserta mereka yang cedera serta pahit getir dan saat-saat begitu mencemaskan yang dilalui oleh mereka yang terlibat. Semoga Allah menerima pengorbanan mereka sejajar dengan para syuhada demi mempertahankan Agama, Bangsa dan Negara.

Bagi rakyat Malaysia kita sudah dapat saksikan pimpinan bersalut kaca dan permata sejati. Diharapkan rakyat Malaysia akan mengambil peristiwa hitam ini sebagai satu lakaran sejarah yang boleh menambah keyakinan mereka untuk menolak sama sekali petualang-petualang yang bertopengkan manusia. PRU ke 13 mungkin boleh dijadikan detik istimewa untuk mengajar mereka.

YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
Taman Tun Dr Ismail, KL
2 Mac 2013

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana