Peruntukan tambahan naik taraf ATM...Sokong 100%

PUTRAJAYA 16 Mac — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sedia meluluskan peruntukan tambahan untuk menaik taraf kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).Beliau berkata, berikutan insiden pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna di Sabah baru-baru ini, kerajaan akan melakukan penambahbaikan dari segi peralatan, latihan, kemahiran dan perisikan ATM pada keseluruhannya."Kita perlu memberi keyakinan kepada rakyat dalam soal kedaulatan wilayah dan keselamatan negara.
"Kita perlu melakukan apa sahaja demi masa depan negara," katanya pada majlis Sepetang Perdana Menteri Bersama Pesara Pegawai-Pegawai Tinggi ATM di Seri Perdana, hari ini.

Lebih 200 pegawai tinggi ATM menghadiri majlis itu.Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.

Sementara itu, Najib berkata, Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM), yang mengambil kira model Rajang Area Security Command (RASCOM) di Sarawak, didapati amat berkesan untuk menghadapi cabaran terkini.

"Saya juga meminta supaya kabin-kabin itu dibuat secepat mungkin tanpa perlu tunggu bangunan kekal.
"Kita mula secepat mungkin dan kabin-kabin itu perlu selesa agar mereka boleh bertugas secara selesa, dan ia akan memberi keyakinan kepada rakyat Sabah timur, khususnya usaha kerajaan menangani ancaman terkini."Butiran lanjut mengenai struktur ESSCOM dijangka diumum akhir minggu depan. Mudah-mudahan kita dapat mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Sabah," katanya.

Najib juga meminta Kementerian Pertahanan melantik pegawai paling sesuai mengetuai kumpulan dan anggota tentera untuk berkhidmat di ESSCOM.ESSCOM merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu di Sabah.Sementara itu, Perdana Menteri menggesa rakyat supaya mempunyai perasaan 'empati' kepada perajurit dan anggota keselamatan negara serta perlu berdiri teguh di belakang setiap perjuangan mereka.

Beliau berkata, rakyat perlu memahami apa yang telah dan akan terus dilalui perajurit serta anggota keselamatan negara.
"Mereka tidak akan beri sokongan kalau mereka tidak faham apa yang terpaksa dilalui oleh anggota keselamatan kita.

"Perlu faham tugas, cabaran, rintangan dan risiko yang dihadapi mereka, sebab itulah untuk kita menimbulkan rasa semangat patriotisme, ia berasaskan kepada kefahaman, kalau tidak faham, makna tidak ada empati," katanya.

Perdana Menteri berkata, oleh yang demikian, ketika ini pada saat negara berdepan ancaman luar, rakyat perlu berdiri teguh di belakang pasukan keselamatan, yakni tentera dan polis."Kita mesti memahami dunia ketenteraan, dan kalau kita faham dunia ketenteraan, maka kita tidaklah buat kenyataan untuk menidakkan kewibawaan pasukan tentera dan polis kita.

"Tidaklah memperlekeh kemampuan mereka dan tidaklah keluar kenyataan daripada pemimpin yang begitu celupar lagi biadab, kononnya apa berlaku di Lahad Datu dan Semporna adalah sandiwara kerajaan UMNO," katanya.Najib berkata, perkara ini menyebabkan rakyat marah dan banyak laporan polis dibuat kerana kerajaan dan angkatan tentera tidak pernah mempunyai sebarang pakatan atau konspirasi.

"Kalau ada, tentu tuan-tuan yang hadir pada majlis hari ini boleh mengesahkan, tidak mungkin ada konspirasi tanpa pengetahuan mereka, jika kita berpakat lakukan sandiwara, tentu pegawai atasan hingga bawahan akan tahu," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana