PRU13 : BN Janji Serah Hak Milik Tanah Rakyat di Kelantan.


KUALA KRAI 15 Mac - Barisan Nasional (BN) berjanji akan memberikan tanah kepada rakyat Negeri ini jika diberi mandat mentadbir Kerajaan Negeri Kelantan pada  Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ianya merupakan salah satu daripada tujuh pengumuman khas ketika mengadakan lawatan di Negeri ini pada bulan Januari lalu.

"Pertama jangan bagi tanah kepada pemimpin DAP. Untuk apa bagi tanah pada pemimpin DAP, rakyat Kelantan dahagakan tanah, lebih 4,000 hektar tanah bagi kepada Ngeh Khoo Ham dan Nga Kor Ming, rakyat dapat apa?

"Salah satu janji tambahan, kita akan bagi tanah kepada rakyat Kelantan. Kita sebuah kerajaan kena buat yang terbaik untuk rakyat," katanya ketika berucap di hadapan lebih 45,000 orang pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalannya, Datuk Dr. Awang Adek Hussin serta Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab. Rahman.

Pengerusi BN itu menjelaskan, rakyat Kelantan perlu memberi peluang kepada BN pada PRU13 kelak bagi membuktikan kemampuan pimpinan parti melaksanakan pentadbiran yang terbaik

Katanya, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, semua janji untuk memajukan negeri ini, termasuk tujuh projek yang diumumkan semasa lawatan beliau Januari lalu, akan ditunaikan BN.

"Janji Barisan Nasional adalah janji ditepati," ujarnya.

Najib turut membidas pemimpin pembangkang yang katanya hanya pandai menabur janji tetapi gagal untuk menunaikannya dan ini dapat dilihat berlaku bukan sahaja di Kelantan tetapi di Selangor.

Tegasnya, PAS yang sanggup 'melutut' kepada pemimpin DAP, gagal melaksanakan perjuangan menegakkan negara Islam dan hukum hudud, yang dicanang selama ini.

"Kerajaan BN bersedia untuk memajukan negeri ini dengan membawa masuk pelaburan besar supaya dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak untuk generasi muda.

"Kita mahu rakyat negeri ini menolak pemimpin PAS yang memperkecil pelbagai bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang dihulurkan kerajaan pusat kepada rakyat, dengan menyamakan pemberian itu umpama hampas kelapa, jerami dan padi untuk haiwan," tegasnya.

Beliau juga melahirkan keyakinan tinggi dengan gelombang sokongan yang kini semakin besar kepada BN, menunjukkan rakyat sudah tidak sabar lagi untuk memberi mandat kepada BN pada PRU 13 nanti untuk memerintah Negeri ini.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana